Kerajaan Arab Saudi tawarkan visa pelancong buat pertama kali dalam sejarah
Kerajaan Arab Saudi pada hari Jumaat yang lepas 27 September 2019, secara rasmi menawarkan visa pelancong untuk pertama kalinya untuk para pelancong ke Arab Saudi.
Langkah itu akan membuka kerajaan Islam yang ultra-konservatif kepada para pelancong sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan ekonomi dalam sektor pelancongan.
Pelancongan juga merupakan salah satu usaha kerajaan Arab Saudi untuk mempelbagaikan ekonominya daripada hanya bergantung kepada industri petroleum.
Sebagai pembukaan pelancongan oleh kerajaan, kerajaan juga akan melonggarkan kod pakaian untuk pelancong wanita asing yang tidak perlu memakai abaya di tempat awam.
“Kami membuat sejarah hari ini,” kata Ketua Pelancongan Arab Saudi Ahmed al-Khateeb dalam satu kenyataan.
“Untuk pertama kalinya, kami akan membuka negara kami untuk pelancong dari seluruh dunia,” tambahnya.
Dengan pembukaan pintu-pintu pelancongan di Arab Saudi, rakyat dari 49 negara akan mendapat e-visa dan visa semasa ketibaan, termasuk warga Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara Eropah.
Program pelancongan sememangnya menjadi salah satu program reformasi Wawasan 2030 oleh Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, dalam mempersiapkan ekonomi negaranya untuk era pasca minyak.
Pihak berkuasa pelancongan tetap tegas bahawa Arab Saudi tidak akan membenarkan alkohol, tetapi Khateeb mengatakan tidak ada sekatan terhadap pelancong wanita asing untuk mewajibkan memakai abaya di tempat awam.
Sebelum ini, visa untuk warga asing yang ingin melawat Arab Saudi adalah terhad kepada pekerja asing dan keluarga mereka, serta jamaah haji yang ingin membuat haji ke tempat suci di Mekah dan Madinah, atau untuk Umrah dan Haji.
Tetapi sejak tahun lepas, Riyadh telah mula mengeluarkan visa sementara untuk pelawat yang ingin menghadiri acara sukan dan kebudayaan.
Sebelum ini sebagai usaha mengubah persepsi sebagai negara yang konservatif, Putera Mohammed telah mengangkat beberapa sekatan seperti teater, pertunjukan konsert, dan sukan.
“Arab Saudi semakin terbuka, kita membuka ekonomi kita, kita membuka masyarakat kita,” kata Khateeb.
Tetapi kritikan antarabangsa mengenai rekod hak asasi diraja, termasuk kes wartawan Jamal Khashoggi dan tindakan keras terhadap aktivis wanita, boleh melambatkan kehadiran pelawat asing, menurut pemerhati.
Belum lagi ditambah kekhuatiran akan terjadinya konflik antarabangsa setelah serangan yang menyasarkan fasiliti produksi minyak Arab Saudi pada 14 September lalu.
Walaupun demikian, kerajaan Arab Saudi berharap sektor pelancongan akan menyumbang sehingga 10 peratus dari GDP pada 2030, ditingkatkan dari waktu sekarang yang hanya 3 peratus, berdasarkan kunjungan tahunan yang disasarkan 100 juta oleh Kementerian Pelancongan Arab Saudi.
Satu lagi halangan, kerajaan pada masa ini tidak mempunyai infrastruktur yang mampu menampung jumlah pelawat yang tinggi, dengan pegawai menganggarkan 500,000 bilik hotel baru akan diperlukan di seluruh negara sepanjang dekad yang akan datang.
Sektor ini dijangka mencipta sehingga satu juta pekerjaan pelancongan, kata kerajaan, kerana ia perlu untuk mengatasi masalah pengangguran golongan muda yang tinggi.
Kerajaan Arab Saudi telah membelanjakan bajet yang sangat besar untuk membina industri pelancongan dari awal.
Pada tahun 2017, kerajaan mengumumkan projek berbilion dolar untuk menjadikan 50 pulau dan kawasan lain di Laut Merah menjadi pusat peranginan mewah.
Tahun lepas, pembinaan “bandar hiburan” Qiddiya dilancarkan berhampiran Riyadh, yang akan merangkumi taman tema mewah, sukan bermotor dan kemudahan safari.
Pembangunan juga dilakukan di tapak bersejarah seperti Mada’in Saleh, yang berabad-abad lamanya, yang merupakan rumah bagi makam batu pasir dari tamadun yang sama yang membina bandar Petra di Jordan.
Leave a Reply