Sia-sia solat tanpa tuma’ninah
Tuma’ninah (الطمأنينة) bermaksud ketenangan. Inilah sebenarnya tujuan kita solat, iaitu untuk mencapai ketenangan. Jika tiada tuma’ninah, maka tiada ketenangan dalam solat.
Jadi tuma’ninah dari segi fizikalnya yang sebenar ialah melakukan ruku’ atau sujud dgn sempurna.Jika kita tergesa-gesa maka tidak sempurna ruku’ dan sujud kita.
Nabi Muhammad SAW menganggap muslim yang tidak tuma’ninah dalam solat sebagai pencuri yang paling buruk, seperti yang dinyatakan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Rasulullah bersabda:
أَسْوَأُ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِي يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ، قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَكَيْفَ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ؟ قَالَ: لاَ يُتِمُّ رُكُوْعُهَا وَلاَ سُجُوْدُهَا.
“Sejahat-jahat pencuri adalah yang mencuri dari solatnya”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana mencuri dari solat?”. Rasulullah berkata, “Dia tidak sempurnakan ruku dan sujudnya”
(HR Ahmad no 11532, disahihkan oleh al Albani)
Jelas Nabi Muhammad SAW menganggap perbuatan mencuri dalam solat ini lebih buruk daripada mencuri harta.
Dalam mazhab Syafie dan Hanbali, tuma’ninah adalah rukun solat dimana jika kita abaikan, solat akan jadi tidak sah. Kita perlu tuma’ninah ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Jangan sia-siakan solat kita.
Rasulullah SAW suatu hari masuk masjid, terlihat seorang lelaki ke masjid untuk solat. Selesai solat, ia datang kepada Rasulullah seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, Baginda berkata:
“Kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum solat”.
Hal ini berulang sampai tiga kali kerana dia menunaikan solat dari yang sepatutnya dilakukan.
Lalu lelaki itu berkata: Demi zat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarlah aku. Baginda pun mengajarnya: Apabila engkau berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah sehingga engkau tuma’ninah dalam keadaan engkau rukuk, kemudian bangkitlah sehingga engkau tuma’ninah dalam keadaan engkau iktidal, kemudian sujudlah sehingga engkau tuma’ninah dalam keadaan sujud, kemudian bangkitlah sehingga engkau tuma’ninah dalam keadaan duduk. Engkau buatlah yang demikian itu dalam semua solat engkau.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Akhir kalam,tuma’ninah adalah adab dalam solat kerana kita sedang berhadapan dengan Allah SWT yang Maha Esa. Alangkah ruginya solat tetapi tidak diterima oleh Allah SWT.
Leave a Reply