Sayyidul Istighfar: Jalan ke syurga
Istighfar merupakan perkataan arab dari kata asas “al-gafar”. Ia bermakna “mencari keampunan”. Jika didalam konteks kita sebagai muslim, melazimi zikir dengan menyebut Astaghfirullah adalah salah satu cara untuk mendapat keampunan dari Allah SWT.
Di dalam sebuah hadith, Nabi SAW beristighfar lebih 70 kali sehari seperti yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:
Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”.
(Sahih al-Bukhari,nombor 6307)
Salah satu amalan yang sepatutnya orang muslim amalkan jika ingin memasuki syurga ialah membaca Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar) pada setiap hari dan setiap malam.
Bacaan Sayyidul Istighfar ialah:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي ، فَاغْفِرْ لِي ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Sabda Rasulullah SAW:
“Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Allah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.
Nabi SAW menyebut sesiapa yang membacanya pada waktu siang dengan yakin padanya, kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang maka dia akan termasuk sebagai ahli syurga. Dan sesiapa membacanya pada waktu malam dengan yakin padanya, kemudian dia mati pada malam tersebut sebelum pagi, maka dia akan termasuk sebagai ahli syurga.
(Sahih Bukhari, nombor 6306).
Demikian menunjukkan akan pentingnya istighfar di dalam kehidupan seharian kita.Semoga kita sebagai hamba Allah SWT dapat mengamalkan sayyidul istighfar dalam kehidupan seharian kita.
Leave a Reply