Malaikat mengenali orang yang bersedekah
Dalam sebuah hadith Rasulullah menyebut kisah si hamba yang dicintai Allah dan makhluk langit. Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي جِبْرِيلُ فِي السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ وَيُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي أَهْلِ الْأَرْضِ
Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah bersabda: “Apabila Allah Ta’ala cintakan seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berkata sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka hendaklah kamu mencintainya. Maka Jibril cintakan si fulan itu. Kemudian Jibril menyeru malaikat di langit dengan katanya ‘sesungguhnya Allah mencintai si fulan itu, maka hendaklah kamu semua mencintainya. Maka seluruh penghuni langit akan mencintainya. Lalu dijadikan rasa penerimaan (cinta kepada si fulan itu) kepada penghuni bumi
(Sahih al-Bukhari & Muslim)
Allah SWT dalam firman-Nya:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَنُ وُدًّا
Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai (termasuk makhluk langit) perasaan kasih sayang.
Surah Maryam [19:96]
Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menceritakan kisah nama manusia yang dikenali dan disanjung hebat oleh malaikat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَا رَجُلٌ بِفَلَاةٍ مِنْ الْأَرْضِ فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ فَتَنَحَّى ذَلِكَ السَّحَابُ فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدْ اسْتَوْعَبَتْ ذَلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ فَقَالَ لَهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ مَا اسْمُكَ قَالَ فُلَانٌ لِلِاسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ فَقَالَ لَهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ لِمَ تَسْأَلُنِي عَنْ اسْمِي فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ يَقُولُ اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ لِاسْمِكَ فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا قَالَ أَمَّا إِذْ قُلْتَ هَذَا فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ
Abu Hurairah R.A meriwayatkan nabi SAW bersabda:
“Pada suatu hari ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si Fulan itu!”
Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam. Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya. Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?”
Petani itu menjawab, “Nama saya Fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa.
Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”
Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si Fulan!” menyebut nama Anda. Apa yang Anda buat dengan kebun ini?”
Petani itu berkata, “Baiklah, kalau Anda katakana begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar daripada kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam) (Sahih Muslim).
Berdasarkan hadith di atas, sedekah merupakan sesuatu yang disukai oleh para malaikat dan pemilik kebun itu dikenali oleh para malaikat kerana sedekahnya.
Leave a Reply