Bersalaman itu sunnah,berpelukan itu makruh
Bersalaman ini memberi banyak kebaikan untuk semua orang tidak kira islam mahupun bukan islam.Cuma harus dijaga batas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Islam adalah agama yang sempurna, mengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Dasarnya adalah aqidah yang benar, binaannya adalah amalan kebaikan dan hiasannya adalah akhlak yang mulia. Antara akhlak yang mulia ialah amalan berjabat tangan ketika berjumpa sesama Muslim. Sunnah berjabat tangan ialah dengan menggenggam tapak tangan kanannya ke atas tapak tangan kanan saudaranya sambil senyum memandang kepada wajahnya.
Berjabat tangan adalah amalan yang disyariatkan dan adab mulia para sahabat RA ketika mereka berjumpa. Antara amalan lain yang disunatkan semasa berjabat tangan seperti yang disebut dalam beberapa buah hadis adalah :
Memuji Allah SWT (اَلْحَمْدُ لِلَّهِ)
(HR. Abu Dawud : 5211)
Mengucapkan istighfar kepad Allah SWT (يَغْفِرَ اللهُ لَنَا وَلَكُمْ)
(HR. Abu Dawud : 5211)
Mendoakan saudara kita
(اللّهُمَّ آتِنَا فِيْ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ)
(HR. Ibnu Sunniy)
Berselawat kepada Nabi SAW
(HR. al-Haithami dalam Majma’: 17987)
Berjabat tangan mempunyai fadhilat yang besar seperti dapat meredakan permusuhan dan kedengkian, memperteguhkan kasih sayang, mengeratkan tali silaturahim sesama Muslim, mendapat rahmat daripada Allah SWT serta menggugurkan dosa sebagaimana gugurnya daun-daun kering di musim kemarau.”
Imam Nawawi rahimahullah membawakan pula hadis yang diriwayatkan dari Anas radhiallahu’anhu berkata:
قال رجل : يا رسول الله ! الرجل منا يلقى أخاه أو صديقه أينحني له ؟ ، قال : لا ، قال : أفيلتزمه ويقبله ؟ قال : لا ، قال : فيأخذ بيده ويصافحه ؟ قال : نعم
Maksudnya: “Seorang lelaki bertanya: “Ya Rasulullah! Seseorang dari kami bertemu saudaranya atau sahabatnya, adakah perlu menundukkan diri kepadanya?” Rasulullah menjawab: “Tidak.” Dia bertanya: “Adakah perlu mendakapnya atau memeluknya?” Nabi menjawab: “Tidak.” Dia bertanya: “Adakah mengambil tangannya kemudian dijabatnya (bersalaman)?” Nabi menjawab: “Ya.”
(Hadis riwayat Tirmizi, no: 7282 dan Ibn Majah, no: 3702)
Berpelukan ini tidaklah dianjurkan bahkan Imam Nawawi mengatakan dalam bab “Larangan Memeluk”, hukumnya adalah makruh kecuali kepada mereka yang baru balik dari musafir.
Imam Nawawi rahimahullah berkata:
“Bahawa berpelukan dan mencium saudaranya yang baru datang dari musafir itu tidak mengapa. Dikecualikan jika bukan kerana musafir, maka hal tersebut makruh hukumnya. Sedangkan mencium bagi yang berlawanan jantina haram dengan cara bagaimana sekalipun, baik kerana musafir atau bukan, begitu juga dengan berpelukan. Hukum ini berlaku bagi dua orang lelaki yang soleh dan juga fasik.”
(Lihat: Al-Adzkar, Pustaka As-Sunnah, Kitab Salam, ms. 682)
Imam Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa tidak boleh bagi kita menentang akan larangan ini. Sebaik-baiknya adalah petunjuk Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam. Kemudian Imam Nawawi rahimahullah membawakan firman Allah Ta’ala:
وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا
Maksudnya: “Dan apa-apa yang Rasulullah datangkan kepada kalian maka ambillah. Dan apa-apa yang Rasulullah larang maka tinggalkanlah.”(Surah Al-Hasyr: 7)
Dan juga firman Allah Ta’ala:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: “Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah RasulNya takut akan mendapat cubaan atau ditimpa azab yang pedih.”(Surah An-Nur: 63)
Leave a Reply